Dilema Kekasih Yang Mempunyai Sejarah Hitam
Saya sering memberi teguran dan peringatan agar dia tidak terus berada dalam kehidupan sekarang serta berubah menjadi seorang hamba yang diberkati dan beriman.Malah, saya amat menyayanginya kerana ingin ‘mendirikan masjid’ tetapi saya takut sekiranya dia tidak tahan dengan teguran diberikan. Hal ini dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya perbalahan antara saya dan dia.
Saya pernah mengatakan kepadanya yang saya selesa dengan perangai ‘gila-gila’. Cuma satu perkara yang saya harapkan daripadanya agar sentiasa memperbaiki diri menjadi hamba soleh.Saya tidak pernah melarangnya untuk terus berkawan dengan rakannya yang sedia ada, tetapi perlu pandai menjaga diri. Saya harap Doktor dapat memberikan pendapat dan cadangan untuk saya membimbing diri saya dan dia menjadi hamba soleh dan solehah.
Gadis buntu
Selangor
Perkataan Arab, soleh bermaksud ‘yang baik’, ‘yang berbuat baik’, ‘yang sepakat’, ‘yang bersetuju’ dan ‘yang patuh’ (Marbawi, 341).Hamba soleh dan solehah atau yang baik ialah hamba disukai dan diredai Allah. Hamba soleh ialah hamba berpegang dengan akidah Islam yang betul, meninggalkan tabiat jahat, mengelak daripada melakukan dosa besar, menahan diri daripada melakukan dosa kecil, menunaikan solat fardu serta kewajipan syariah yang lain dan mengamalkan sunah Nabi SAW.
Malah, hamba soleh dan solehah juga hamba yang taat kepada segala perintah Allah dan sentiasa melakukan amalan sunat seperti solat sunat, berdoa, berzikir dan membaca al-Quran.Hatinya sentiasa untuk mendapat keredaan Allah. Amalannya dilaksanakan untuk mendekatkan diri kepada Allah.Apabila seseorang itu termasuk dalam kalangan orang soleh, dia sentiasa mendapat nikmat dan rahmat Allah di dunia dan akhirat.
Allah berfirman dalam al-Quran maksudnya: “Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan bersama orang yang dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu nabi-nabi, orang siddiqin dan orang yang syahid serta orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang yang taat).” (Surah an-Nisa, ayat 69)
Dengan kata lain, anda berdua dapat menjadi hamba yang soleh dan solehah apabila mengabungkan antara ilmu dan amal.Oleh sebab itu, dari sekarang hendaklah meletakkan cita-cita untuk menjadi hamba yang soleh dan solehah. Dengan adanya cita-cita itu, anda berdua akhirnya berusaha melakukan segala amalan ditetapkan Islam secara konsisten.
Antara buku terbaik dalam mendidik diri dan anak menjadi orang soleh ialah buku Riyadh as-Solihin, karangan Imam Nawawi.Buku ini adalah kumpulan ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW yang disusun berdasarkan tajuk penting sebagai panduan dalam segenap aspek kehidupan.
Terjemahannya dalam dalam bahasa Melayu sudah lama dalam pasaran. Ia memaparkan nilai baik yang perlu ada pada setiap Muslim dan Muslimah berasaskan peraturan Islam dan adabnya.Mudah-mudahan bacaan buku itu dapat memberi manfaat besar kepada kita semua.
Tidak ada komentar: